Norich Media

Sumber informasi terkini dan alternatif

TRAGIS !! Warga Emas Ini Maut Dilanggar Ketika Melintas Jalan

Maut-langgarTRAGIS !! Warga Emas Ini Maut Dilanggar Ketika Melintas Jalan

Bukit Mertajam
 – Seorang warga emas maut selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan di Permatang Batu, di sini sehingga tercampak ke laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah bas Rapid Penang, awal hari ini.
Dalam kemalangan kira-kira pukul 6.20 pagi itu, mangsa Ong Ah Hock, 64, yang bekerja sebagai pengutip barang terpakai baru keluar dari rumahnya, tidak jauh dari lokasi kejadian dan sedang melintas jalan kerana hendak ke kedai berhampiran.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Rusli Mohd Noor berkata mangsa dilanggar sebuah kereta sehingga tercampak ke laluan bertentangan sebelum sebuah bas Rapid Penang dari Bandar Perda yang mahu ke Jambatan Pulau Pinang gagal mengelak lalu terlanggar mangsa.
“Warga emas berkenaan mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah manakala pemandu kereta yang melanggar mangsa itu tidak berhenti dan terus memecut laju,” katanya di sini Rabu.
Katanya polis kini sedang mengesan kereta yang melanggar mangsa dan kemalangan itu disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Rusli berkata sebuah lori tangki sarat muatan susu getah terbabas dan terbalik sebelum merintangi Kilometer 137.1 Lebuhraya PLUS arah selatan berdekatan Masjid Seberang Jaya, di sini, 12 tengah malam tadi.
Katanya kemalangan itu telah menyebabkan laluan ditutup untuk semua kenderaan dan berlaku kesesakan sehingga tujuh kilometer.
“Tayar lori itu dipercayai pecah menyebabkan ia terbabas dan terbalik. Sebuah lagi lori yang cuba mengelak lori berkenaan terbabas ke dalam longkang di bahu kiri lebuh raya,” katanya.
Beliau berkata empat lelaki iaitu pemandu dan kelindan dua buah lori berkenaan mengalami kecederaan serta dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut, lapor Bernama.
0 Komen untuk "TRAGIS !! Warga Emas Ini Maut Dilanggar Ketika Melintas Jalan"