Norich Media

Sumber informasi terkini dan alternatif

Polis Buru Banduan Larikan Diri

Shah Alam – Polis menafikan berjaya menahan semula seorang banduan yang melarikan diri dalam kejadian di Paya Jaras, Sungai Buloh, Ahad lalu seperti yang tersebar di laman sosial dan WhatsApp semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd. Yusoff Mamat berkata, pihak polis kini masih giat mengesan suspek dan percaya akan berjaya menahannya dalam tempoh terdekat.
Menurutnya, gambar penahan suspek yang tersebar itu sebenarnya ialah kejadian ketika suspek ditahan oleh orang ramai pada 2 Disember lalu di Meru, Klang.
“Belum dapat tangkap lagi dan gambar yang viral itu ialah gambar lama ketika suspek ditahan orang ramai pada 2 Disember lalu di Meru.
“Saya harap orang ramai jangan salah viralkan gambar itu dan jangan percaya. Itu bukan gambar polis menahan tahanan selepas melarikan diri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Ahad lepas, seorang tahanan polis melarikan diri ketika sedang dibawa untuk mengesan rakan jenayahnya di Paya Jaras dengan berpakaian baju lokap dan masih bergari.
Suspek berusia 34 tahun ditahan terlibat dalam 29 kes ragut dan samun sekitar Klang Utara, Sungai Buloh dan Damansara Damai, lapor Kosmo.
0 Komen untuk "Polis Buru Banduan Larikan Diri"