Norich Media

Sumber informasi terkini dan alternatif

SAYU !! "Mana Kaki Abang, Ma.."- Tanya Sarjan Sanip

'Mana kaki abang, ma..'
SAYU !! "Mana Kaki Abang, Ma.."- Tanya Sarjan Sanip

BANDARAYA MELAKA - “Mana kaki abang yang sebelah ma,” tanya Sarjan Sanip Tukiman, 49, kepada isterinya selepas sehari sedar daripada koma di Hospital Melaka, kira-kira dua minggu lalu.

Soalan yang dipendam sebaik sahaja melihat kakinya tiada ketika dimandikan jururawat itu akhirnya diajukan kepada isteri, Zarina Maidin, 47, selepas 10 hari tidak sedarkan diri kerana terlibat kemalangan, 6 November lalu.

Namun, sebagai isteri, Zarina hanya mampu memberi sokongan dan meminta suaminya yang bertugas sebagai anggota trafik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka itu menerima ketentuan diaturkan Maha Kuasa.

Hanya nampak kaki kanan

Siapa yang tidak hiba, siapa yang tidak terkejut apabila melihat sebelah kaki yang digunakan untuk bergerak ke sana ke mari kini dipotong berikutan urat pembuluh darah tidak lagi berfungsi.

Sanip berkata, dia menerima rawatan di Hospital Pakar Putra sebelum dipindahkan ke ICU pada 14 November dan sedar daripada koma dua hari kemudian.

“Sebaik sahaja sedar, saya nampak hujung kaki kanan tapi saya tak nampak hujung kaki kiri dan saya hanya sedar kaki kiri tiada masa staf 'nurse' mandikan saya jam 8.30 malam namun, saya hanya diam dan berniat untuk bertanyakan isteri keesokan hari.

“Esoknya saya tanya, mana kaki abang yang sebelah ma? Isteri jawab... istighfar bang, abang kena banyak sabar, ini semua kuasa ALLAH,” katanya ketika ditemui di Wad D2 Hospital Melaka, di sini, semalam.

Selain dirinya, seluruh ahli keluarga turut menerima kejadian tersebut dengan lapang dada dan bersyukur bapa kepada empat cahaya mata itu terselamat selepas motosikal berkuasa besar ditunggangnya terbabas di Jalan Ayer Keroh Lama, di sini.

“Saya syukur dan saya boleh terima keadaan ini cuma saya berharap supaya saya cepat sembuh. Anak-anak dan adik beradik pun boleh terima keadaan saya. Malah semua orang termasuk rakan beri saya semangat dan sokongan.

“Pernah kejadian sama menimpa seorang pegawai saya, jika dia boleh terima keadaannya kenapa saya tak boleh? Saya tak boleh ada rasa rendah diri sebab semua yang datang melawat cakap saya boleh guna kaki palsu,” katanya.

Berkhidmat sehingga bersara

Sanip yang mula berkhidmat dengan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) sejak 1985 mula bertugas di negeri ini pada tahun 2002 dan menjadi anggota trafik kira-kira 27 tahun lalu.

Kekurangan diri dan anggota yang tidak lagi sempurna kini sesekali takkan mampu mengatasi kasih dan sayangnya pada perkhidmatan beruniform ini apatah lagi mematahkan semangat untuk berhenti berkhidmat.

“Ini bukan penghalang, saya akan terus berkhidmat hingga bersara dan kalau boleh saya nak melakukan tugas yang memudahkan saya kerana saya juga mengalami kecederaan dari tulang pinggul hingga buku lali kanan,” katanya.

Sekelip mata

Ketika diimbas kembali, Sanip berkata, kejadian menimpanya berlaku dalam sekelip mata ketika dia dalam perjalanan ke IPK selepas melakukan penyeliaan di sekitar kawasan Ayer Keroh.

“Lebih kurang sebelum jam 8.30 pagi, saya memandu dalam 70km/j ketika melalui Jalan Ayer Keroh Lama dan laluan 'clear' cuma ada sebuah motosikal sahaja di depan, saya pandang motor itu masuk ke Mahkamah Syariah.

“Bila saya pandang depan semula, saya tiada ruang untuk mengelak dan terus melanggar tiang lampu menyebabkan saya tercampak di laluan bertentangan. Syukur laluan itupun 'clear' dan saya dibantu seorang pemandu kereta yang berhenti,” katanya.

Ketua Trafik Pasukan ziarah

Selepas 27 terlibat kemalangan yang dipercayai merubah kehidupan Sanip, hampir setiap hari dia dilawati kakitangan PDRM termasuk Ketua Trafik Pasukan dari Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mahamad Khir Darus.

Mahamad Khir ketika lawatan yang disertai Pegawai Turus Am/Naziran Bukit Aman, Superintendan Zulkifli Jonit menyampaikan sebahagian sumbangan hasil kutipan kakitangan PDRM lebih kurang RM10,000.

“Lawatan ini juga sebagai tanda sokongan moral kepada Sarjan Sanip selepas apa yang berlaku terhadapnya,” katanya dalam lawatan yang turut dihadiri Pegawai Turus Trafik IPK Melaka, Deputi Superintendan Mohd Sham Abdullah.

Beliau bagaimanapun mengingatkan semua kakitangan PDRM terutamanya anggota dan pegawai trafik supaya mengambil langkah menjaga keselamatan ketika menjalankan tugas dan memberi perkhidmatan kepada masyarakat. lapor Sinar Online.
0 Komen untuk "SAYU !! "Mana Kaki Abang, Ma.."- Tanya Sarjan Sanip"